BARCA 2 SHAKHTAR 1

Pendahulu Kumpulan H, Barcelona, selangkah lebih dekat untuk mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) selepas kemenangan 2-1 ke atas Shakhtar Donetsk di tempat sendiri, awal pagi tadi.


Barca mencatatkan tiga kemenangan menerusi sentuhan pemusnah Ferran Torres dan Fermin Lopez sebelum mereka perlu bertahan dalam sebahagian besar separuh masa kedua selepas jaringan Heorhiy Sudakov pada minit ke-62 merapatkan kedudukan.

Apa pun, pengendali Barca, Xavi Hernandez, lega dengan kemenangan itu sambil memuji kelibat bintang mudanya, Lopez.

"Saya teruja dengannya secara umum. Dia seorang pemain berharga buat kami,” katanya selepas perlawanan.

“Dia akan berada dalam pasukan Barcelona ini bertahun lamanya dan saya tidak mengatakannya dengan sewenang-wenangnya.



"Dia sudah bersedia daripada segi mental, dia mengharungi musim ini dengan baik, dia meledak gol dari jarak jauh. Saya gembira untuk itu dan gembira bagi pihaknya.

“Bukanlah sesuatu yang mengejutkan Fermin mempunyai mentaliti yang menakjubkan.

"Dia sentiasa mendengar, sentiasa berfikir dan saya sangat menyukai mentalitinya .

"Apabila anda memberitahunya sesuatu, ia akan meresap ke dalam fikirannya dan dia menerapkannya."