Napoli mampu memasang hajat besar untuk muncul sebagai pasukan terbaik di Eropah, menurut legenda Liga Juara-Juara (UCL), Alessandro Costacurta.

Skuad Partenopei sedang bersiap sedia untuk menentang Eintracht Frankfurt dalam perlawanan pertama pusingan 16, awal pagi esok.

Napoli tidak pernah mara ke peringkat ini malah amat jarang sekali mereka kelihatan begitu berkebolehan berbanding musim ini.

Luciano Spalletti membimbing pasukannya itu memiliki kelebihan 15 mata di puncak Serie A, malah turut mengungguli peringkat kumpulan UCL dengan prestasi Khvicha Kvaratskhelia dan Victor Osimhen di bahagian serangan mula mencuri tumpuan.

Napoli menang lima daripada enam aksi Eropah sebelum rehat Piala Dunia apabila membelasah Liverpool 4-1 dan Ajax 6-1 dalam laluan mereka ke peringkat kalah mati.

Justeru, cabarannya makin meningkat tetapi Costacurta yang merupakan juara Eropah lima kali bersama Milan tidak dapat melihat mana-mana pasukan yang dalam prestasi lebih cemerlang daripada Napoli ketika ini.

“Saya tidak mahu perkara ini berlalu sebagai omong kosong, tetapi daripada segi pendekatan dan sikap, Napoli adalah yang terkuat di Eropah,” katanya kepada Il Mattino.



"Jelas sekali ada seteru yang lain juga dan kami masak benar dengan pertandingan seperti UCL ini yang mampu mempengaruhi motivasi pemain yang mungkin tidak wujud dalam liga.

"Tetapi saya mempunyai kepastian tentang satu perkara, iaitu ketika ini Napoli lebih handal daripada Manchester City dan semua yang lain."

Costacurta menambah: "Pasukan terkuat di Eropah masih belum menyajikan persembahan terhebat dalam liga mereka.

"Itulah sebabnya saya yakin bahawa ketika ini Napoli mempunyai sikap yang membolehkan mereka mampu memasang impian besar."