Antonio Conte menegaskan bahawa Tottenham masih mampu untuk memadam defisit 1-0 menentang AC Milan dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Brahim Diaz menjaringkan gol pembukaan awal buat Milan pada minit ketujuh aksi pertama di San Siro awal pagi tadi.

Milan berpeluang untuk melebarkan kelebihan mereka dalam babak kedua tetapi mensia-siakan beberapa peluang, sekali gus memberikan Tottenham keyakinan untuk melakar kebangkitan dalam perlawanan kedua di London pada 8 Mac ini.

Bekas pengendali Inter, Conte, mahukan pasukan bimbingannya Spurs, memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Tottenham Hotspur untuk mendorong mereka layak ke suku akhir.

Dia berkata kepada BT Sport: "Anda perlu bermain dalam dua perlawanan. Ia suasana yang luar biasa. Saya tahu keadaan di San Siro dan saya tahu kesukaran untuk bermain dalam suasana seperti ini.

"Sudah pasti kami akan bermain di stadium kami bagi perlawanan kedua dan sudah pasti penyokong kami akan mencipta suasana yang tepat untuk mendorong kami mengatasi halangan Milan," katanya.