Franco Baresi percaya AC Milan mampu pergi jauh dan perlu berfikiran besar dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini selepas diundi untuk bertemu Tottenham dalam pusingan 16.

Pasukan juara Serie A itu diundi bertemu lawan bimbingan Antonio Conte berkenaan bagi penentuan ke suku akhir tahun depan dalam satu majlis undian malam tadi.

Milan layak ke pusingan 16 selaku naib juara Kumpulan E dengan membelasah Salzburg 4-0 minggu lalu manakala Spurs pula menewaskan Marseille 2-1 untuk mengelak daripada tersingir dalam pusingan awal.

Legenda Rossoneri dan Itali, Baresi, optimis dengan peluang barisan asuhan Stefano Pioli itu, yang memenangi lima daripada enam perlawanan terakhir mereka dan kini sedang menduduki tangga kedua Serie A di belakang Juventus.

Naib presiden Milan itu berkata kepada Sky Sport: "Milan akan bersedia dengan sebaik mungkin dan akan bersedia untuk sekali lagi mencuri tumpuan.

"Saya fikir pasukan ini sudah matang untuk pergi jauh. Kami menghormati Tottenham, ini adalah perlawanan yang istimewa dalam UCL tetapi kami perlu berfikiran besar."

Rossoneri menduduki tangga tercorot peringkat kumpulan dalam UCL musim lalu dengan hanya satu kemenangan daripada enam perlawanan tetapi Baresi berkata keadaan mereka kali ini cukup berbeza.

"Terdapat keinginan yang besar dan pasukan ini cukup matang untuk ke peringkat kalah mati UCL.

"Pengalaman musim lalu amat penting dan kini terdapat keyakinan bahawa kami boleh berdepan mana-mana pasukan.

"Conte amat terperinci dalam segala aspek tetapi Milan sudah bersedia untuk menghadapinya," tambahnya.