BORUSSIA DORTMUND 1 CHELSEA 0

Graham Potter menggesa Chelsea untuk "tidak menunggu tuah' tetapi memuji aksi dominan yang dipamerkan pasukannya sewaktu tewas tipis 0-1 kepada Borussia Dortmund dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Gol ketiga Karim Adeyemi daripada tiga penampilan buat Dortmund dalam kesemua kejohanan memastikan tuan rumah memperoleh bekalan satu gol di Signal Iduna Park.

Chelsea perlu menyalahkan diri mereka sendiri kerana tidak memanfaatkan peluang sebelum jaringan Adeyemi pada minit ke-63, di mana Joao Felix melepaskan dua peluang berharga dalam babak pertama perlawanan yang cukup menghiburkan itu.

Gregor Kobel turut beraksi baik dalam mempertahankan gawang pasukan lawan bimbingan Edin Terzic itu dan Potter kelihatan tidak gusar dengan mutu permainan pasukannya menjelang aksi timbal balik di Stamford Bridge pada 7 Mac ini.

Pengurus Chelsea itu berkata kepada BT Sport: "Saya fikir kami pasukan yang lebih dominan dalam separuh masa kedua.

"Sewaktu rehat separuh masa, di mana kami perlu berkumpul semula, anda dapat lihat reaksi penyokong mereka, mereka amat positif, mereka dapat melihat prestasi pasukan kami, mereka memberikan sambutan yang luar biasa.

"Kami sebuah pasukan dalam pembinaan, kami sedar terdapat banyak perkara positif.

"Anda sentiasa memerlukan sedikit tuah tetapi anda tidak boleh menunggu tuah, anda perlu terus berusaha.

"Pemain kami amat luar biasa dengan usaha yang dilakukan mereka tetapi kami masih berdepan kesukaran ketika ini. Tetapi kami akan terus berusaha," katanya.