Pemain tengah Barcelona, Arda Turan, tidak mahu meninggalkan pasukannya dan berhijrah ke Galatasaray walaupun jendela perpindahan Liga Super Turki hanya akan tamat pada 8 September.

Pemain berusia 30 tahun itu masih belum melakukan sebarang penampilan pada musim ini dan dikaitkan dengan perpindahan ke Turki, terutama selepas kehadiran pemain Brazil, Paulinho, dari Guangzhou Evergrande Taobao.

Bagaimanapun, bintang Turki itu menolak untuk berhijrah dan berbesar hati untuk memperbaharui kontraknya yang akan tamat pada tahun 2020 selepas dinamakan dalam senarai 25 pemain Liga Juara-Juara Eropah.

“Saya kekal di sini. Saya gembira di Barcelona dan masih memiliki kontrak selama tiga tahun,” kata Turan.

Dia juga menjelaskan agak mustahil untuknya kembali ke Turki buat masa sekarang selepas berbalah dengan wartawan ketika berada di dalam kapal terbang sehingga menyebabkannya membuat keputusan untuk bersara daripada skuad kebangsaan.

“Galatasaray adalah rumah saya tetapi saya tahu mereka tidak mahukan khidmat saya buat masa sekarang.

“Saya tidak mahu merosakkan pasukan.”