Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim,menyokong tindakan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) mengguna pakai pemansuhan manual syarat pemain naturalisasi berkuat kuasa sejak 2020.

Tegas Tunku Ismail, ia bagi menjaga kelangsungan pemain tempatan dalam liga sendiri selain keberadaan mereka dalam skuad negara.

Ia merujuk kepada permohonan Sri Pahang FC menukar status pemain naturalisasi, Lee Tuck dan Sergio Aguero yang ditolak MFL pada hari terakhir pendaftaran jendela kedua perpindahan pemain Jumaat lalu.

Jika ia tidak memberikan sebarang keuntungan tiada keperluan pemain import yang berada di penghujung karier diberikan hak kerakyatan sewenang-wenangnya.

Itu ditegaskan Tunku Ismail merujuk kepada tindakan MFL menolak permohonan Sri Pahang yang mahu menaturalisasikan Lee Tuck dan Aguero atas dasar cukup bermastautin selama lima tahun.

"Selepas lima tahun terus memberikan kerakyatan. Ia secara tidak langsung memberikan kesan kepada pemain tempatan dan FAM telah membuat perubahan," kata Tunku Ismail.

"Berbeza buat Corbin Ong atau Matthew Davies kerana mereka merupakan pemain warisan Malaysia."

Tambahnya lagi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat kesilapan dengan memberikan kerakyatan kepada dua pemain import iaitu Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi yang dilihat gagal membantu skuad negara.

Untuk jangka masa pendek tidak banyak perubahan mampu dilakukan dua pemain itu namun secara berseloroh TMJ menjelaskan kenapa dua pemain itu berada bersama JDT ketika ini.

"Saya ambil khidmat mereka kerana tidak mahu pasukan memiliki ramai pemain import. Datang ke sini dan duduk diam-diam.

"Saya berasakan ia merupakan satu kesilapan daripada pihak FAM kerana memiliki kerakyatan kepada pemain ini untuk disertakan ke dalam perancangan jangka masa pendek. Jika FAM perlukan pemain yang berkualiti dan boleh memberikan sumbangan kepada negara, pemain tersebut haruslah lebih muda dan boleh diturunkan untuk jangka masa panjang."

Sementara itu, Tunku Ismail menegaskan, tiada istilah ambil mudah menjelang pertemuan dengan PJ City dalam aksi Liga Super, malam ini.

Pj City sering dianggap sebagai pasukan 'kacau daun', namun rekod terdahulu meletakkan PJ City sebagai pasukan yang perlu diawasi kemampuan sebenar mereka.

Tunku Ismail bagaimanapun meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, dalam merencanakan kemenangan seterusnya malam ini.

Untuk rekod, PJ City pernah mencetak kejutan menerusi kemenangan 1-0 di Stadium Larkin pada 2019.