Legenda Juventus, David Trezeguet, berkata tiada siapa mampu menguruskan Cristiano Ronaldo sama seperti yang dilakukan Zinedine Zidane ketika di Real Madrid.

Pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or, Ronaldo, menghabiskan tiga musim ini di Stadium Allianz selepas menyertai Juve daripada Real Madrid dengan tanda harga €112 juta (RM553.28 juta).

Kontrak pemain berusia 36 tahun itu masih berbaki 12 bulan selepas menamatkan Serie A musim 2020-21 selaku penjaring terbanyak dengan 29 gol.

Dia secara keseluruhan telah menjaringkan 81 gol daripada 97 perlawanan Serie A sejak tiba di Itali pada 2018 -- rekod yang hanya dapat ditandingi Robert Lewandowski (93 gol dalam 97 penampilan Bundesliga) dan Lionel Messi (91 gol daripada 102 perlawanan LaLiga) dalam lima liga utama Eropah.

Sebelum itu, Ronaldo menjaringkan 311 gol daripada 292 penampilan LaLiga sepanjang sembilan musim bersama Madrid -- di mana dia memenangi 15 trofi termasuk empat kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Ronaldo menghabiskan dua musim di bawah kendalian Zidane di Santiago Bernabeu tetapi Trezeguet tidak berasakan Massimiliano Allegri, Maurizio Sarri dan Andrea Pirlo sudah mengeluarkan yang terbaik daripada bintang Portugis itu seperti yang pernah dilakukan Zidane.

"Saya fikir tiada siapa dapat menguruskan dia sama seperti Zinedine Zidane. Mungkin terdapat kekurangan dialog sepanjang dia berada di Juventus," kata Trezeguet kepada La Gazzetta dello Sport.

"Seorang jurulatih boleh berkata: 'Lihat sepanjang perlawanan ini, anda boleh berjalan sepanjang 90 minit dan anda perlu membantu saya memenangi perlawanan ini'.

"Terdapat pemain yang anda tidak mahu menentang mereka kerana mereka membuatkan anda memenangi perlawanan.

"Ronaldo salah seorang daripadanya, (Paulo) Dybala juga sama. Beberapa pemain lain, dengan penuh rasa hormat, mereka tidak seperti itu," katanya.

++++