Totti: Roma terpaksa lepaskan Alisson
Penulis Jemputan
July 21, 2018 10:53 MYT
July 21, 2018 10:53 MYT
Ikon AS Roma, Francesco Totti, mengakui bahawa kelabnya terpaksa menjual Alisson Becker kepada Liverpool tatkala mereka tidak mampu menolak tawaran rekod dunia buat seorang penjaga gol.
Bintang Brazil, Alisson, menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu melalui yuran perpindahan sekitar RM345 juta.
Alisson memainkan peranan utama buat Roma sewaktu menamatkan kempen Serie A musim lalu di tangga ketiga dan melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2017/18.
Bagaimanapun, Totti yang juga bekas penyerang Roma mengakui tidak mampu menolak tawaran lumayan yang diterima walaupun terpaksa melepaskan kualiti yang dimiliki Alisson.
"Kami sedang membina pasukan muda untuk masa depan," katanya.
"Kami akan cuba menambah kekuatan secepat mungkin untuk membolehkan Roma bersaing di peringkat tertinggi.
"Alisson? Corak pemasaran telah berubah dan tawaran rekod dunia yang kami terima tidak boleh ditolak.
"Saya memohon maaf kerana kami telah kehilangan salah seorang penjaga gol terbaik dunia tetapi kami akan cuba membentuk pasukan yang lebih kuat," katanya.