Totti jadi pengarah Roma

Penulis Jemputan
July 18, 2017 10:32 MYT
Francesco Totti akhirnya mengesahkan dia tidak akan berusaha untuk melanjutkan kerjaya sebagai pemain, sebaliknya akan memainkan peranan luar padang di Roma.
Totti diberi peluang untuk bermain dengan skuad liga tahap kedua di Jepun, Tokyo Verdy, yang membuat tawaran kepada pemain tengah berusia 40 tahun itu.
Tetapi Totti -- yang membuat 786 penampilan untuk Roma dalam semua pertandingan, menjaringkan 307 gol, dan memenangi gelaran Serie A pada 2000-01 -- kini akan menjadi pengarah di Stadio Olimpico.
"Bahagian pertama sudah berakhir dan sekarang saya memulakan tugas penting lain sebagai pengarah. Saya berharap dapat memberi kesan sama seperti yang saya lakukan di atas padang," katanya kepada Roma TV.
"Saya bermula pada permulaan, kini masuk fasa baru dan pengembaraan baru. Saya mempunyai masa untuk berfikir tentang perkara ini, untuk menonjolkan bahawa saya sedia untuk terus berkhidmat dengan pasukan ini pada setiap hari."
Walaupun Totti belum memegang jawatan rasmi dalam peranan barunya, dia berminat untuk bekerja bersama ketua jurulatih baru Roma, Eusebio Di Francesco; pengarah sukan, Monchi, dan presiden, Pallotta.
"Saya bercakap dengan pengarah sukan, Monchi, kami berbual dan mengambil masa untuk mengenali satu sama lain dengan lebih baik," tambah Totti.
"Saya juga bercakap dengan Pallotta, terutama mengenai perkara kecil yang tidak jelas daripada perbincangan pada beberapa tahun sebelum ini.
"Tetapi kami membuat semuanya jelas, kami bercakap dengan tenang dan selepas itu kami berdua gembira dengan perbualan kami. Sekarang kami mahu melakukan apa yang kami mampu untuk membawa pasukan setinggi mungkin."
#Roma #Francesco Totti #Serie A #Eusebio Di Francesco #Monchi #Pallotta
;