LEICESTER 4 TOTTENHAM 1

Son Heung-Min menegur Tottenham bahawa mereka harus mengutip pengajaran besar daripada kekalahan Liga Perdana Inggeris (EPL) 1-4 di Leicester City, awal pagi tadi.


Spurs menewaskan kelab di tangga kedua, Manchester City, hujung minggu lalu tetapi tersungkur pula di Stadium King Power.

Pengurus Spurs, Antonio Conte -- yang kembali ke bangku simpanan selepas selesai pembedahan pundi hempedu -- berdepan keperitan terbaru apabila anak buahnya membenarkan The Foxes bangkit, secara tidak langsung menjejaskan tiket kelayakan ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Rodrigo Bentancur membuka tirai jaringan perlawanan tetapi dua gol dalam tempoh beberapa minit daripada Nampalys Mendy dan James Maddison meletakkan Leicester di hadapan.

Kelechi Iheanacho kemudian melebarkan kelebihan buat skuad kendalian Brendan Rodgers dalam masa kecederaan babak pertama dan Harvey Barnes menokok jaringan keempat, malah Spurs turut mengalami tamparan hebat kehilangan Bentancur akibat kecederaan.

Justeru, Son memberitahu BBC Sport: "Kami bermula dengan agak baik dan mencipta peluang.



"Selepas 1-1 kami pantas melepaskan gol kedua dan perlawanan menjadi terbuka. Ia adalah satu perlawanan yang sukar.




"Leicester begitu klinikal, mereka hampir menemui sentuhan pemusnah dalam setiap peluang. Ini keputusan yang sangat mengecewakan.

"Saya fikir ia sangat menyedihkan. Kami sedar ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar.

"Dalam EPL ia tidak pernah menjadi satu perlawanan yang mudah. Ia menunjukkan bahawa EPL mempunyai tahap yang tinggi.

"Saya tidak tahu lagi apa yang harus diperkatakan, ia amat mengecewakan."