Arsenal menghubungi Orlando City berkenaan minat mereka terhadap Facundo Torres menjelang saingan Piala Dunia di Qatar lalu, demikian didedahkan penyerang berkenaan.

Pemain berusia 22 tahun itu mencuri tumpuan dalam saingan Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) selepas menyertai pasukan berkenaan pada Januari tahun lalu, di mana dia menjaringkan sembilan gol dan membantu lapan jaringan lain sepanjang 33 penampilan dalam musim pertamanya.

Perpindahan ke Eropah dilihat paling ideal buat pemain kebangsaan Uruguay itu sejak beraksi bersama Penarol di negara kelahirannya dan Arsenal kelihatan sudah lama meminati bakat yang dimiliki Torres.

The Gunners terlepas peluang untuk menandatangani Mykhaylo Mudryk kepada seteru London, Chelsea, tetapi masih kekal dalam pencarian pemain baru untuk memperkuatkan skuad mereka.

Torres, dalam pada itu, membuka pintu untuk dipikat pasukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan dengan meluahkan keinginannya untuk beraksi di Eropah.

"Orlando City mengesahkan kepada saya bahawa Arsenal ada menghubungi kami tetapi saya sudah meninggalkan pasukan untuk ke Piala Dunia dan saya ketika itu tidak mahu mendengar mengenai sebarang potensi perpindahan," katanya kepada 90Min.

"Jadi, perbincangan berkenaan terhenti setakat itu tetapi saya kini sudah kembali bersama pasukan, kita akan lihat ke mana arahnya perbincangan itu.

"Saya mahu bermain di Eropah. Ia merupakan impian saya sejak kecil. Buat masa ini, saya hanya fokus kepada Orlando City.

"Tetapi LaLiga atau EPL memang sasaran saya dan disitulah khabar angin ini bermula. Saya benar-benar menggemarinya," katanya.