Torreira harap Arsenal benarkan ke Boca Juniors selepas kematian ibu

Muzaffar Musa
April 2, 2021 09:40 MYT
Lucas Torreira berharap Arsenal akan memberikannya kebenaran untuk menyertai Boca Juniors pada penghujung musim ini bagi memenuhi permintaan keluarganya selepas pemergian ibunya.
Pemain kebangsaan Uruguay itu diberikan waktu rehat oleh Atletico Madrid, pasukan yang disertainya secara pinjaman musim ini, selepas ibunya meninggal dunia disebabkan koronavirus Isnin lalu.
Dia dijadualkan untuk kembali ke Arsenal pada penghujung musim ini bagi memenuhi tahun terakhir dalam kontraknya tetapi pemain itu kini sudah bersedia untuk menamatkan tempoh lapan tahunnya di Eropah bagi mencari satu destinasi yang lebih dekat dengan rumahnya.
"Saya sedang cuba untuk memahami situasi ini. Ia amat sukar untuk menerimanya tetapi masa akan berlalu, kami akan hidup dengan kepedihan ini," katanya kepada ESPN Argentina.
"Ibu saya berusia 53 tahun dan meninggal dunia kerana koronavirus. Terdapat jangkitan di Fray Bentos dan dia bertarung dengannya selama 11 hari tetapi pada pagi Isnin lalu, saya menerima berita paling buruk dalam hidup saya.
"Saya memohon cuti beberapa hari daripada Atletico. Cholo (ketua jurulatih Atletico, Diego Simeone) amat memahaminya dan mereka memberikan saya seminggu tetapi saya meminta untuk berehat lebih lama.
"Ahad ini, saya mungkin akan kembali. Saya mempunyai tugas dan hidup perlu diteruskan. Atletico memang amat baik dengan saya dan ia merupakan sesuatu yang penting.
"Ia bukan emosi memberontak, satu keputusan gila kerana ibu saya. Saya sentiasa katakan yang saya mahu bermain untuk Boca. Saya benar-benar mahu bermain untuk Boca seperti yang selalu saya katakan.
"Pada malam ibu saya meninggal dunia, orang pertama mendengar permintaan saya adalah ejen saya. Saya memberitahunya bahawa saya sudah tidak mahu lagi bermain di Eropah, saya mahu bermain untuk Boca.
"Saya mahu dekat dengan rumah saya, keluarga saya. Saya masih mempunyai kontrak dengan Arsenal dan sedang dipinjamkan ke Atletico tetapi saya mahu menyertai Boca. Saya harap kesemua kelab ini akan bersetuju," katanya.

??⚪️ pic.twitter.com/mD7FvIzAf5

— Atlético de Madrid (@atletienglish) March 30, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Torreira, yang dilaporkan tiba di Arsenal dengan tanda harga £26 juta (RM148.9 juta) daripada Sampdoria pada 2018, berasakan tidak diperlukan oleh Mikel Arteta dan bergelut untuk mendapatkan minit permainan dalam tempoh pinjamannya di Atletico.
Pemain berusia 25 tahun itu hanya memulakan lima perlawanan dalam kesemua kejohanan musim ini dengan yang terakhir adalah ketika menentang Cadiz pada Januari lalu.
"Ia sudah dua tahun sejak saya benar-benar berasa seronok. Saya tidak pernah dapat meneruskannya.
"Arsenal melukakan saya dan di Atletico, saya tidak bermain seperti yang saya mahukan.
"Saya hanya mahu menyertai Boca. Saya sudah membuat keputusan. Saya akan melakukannya demi bapa saya. Dia meminta kepada saya dan saya akan melakukannya," katanya lagi.
#Arsenal #Boca Juniors #Atletico Madrid #LaLiga #Liga Perdana Inggeris
;