Sempat saya bertanya kepada bekas penyerang terbaik negara, Zaquan Adha Abdul Radzak, yang bertugas sebagai antara tetamu pakar di studio bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

“Malaysia boleh menang tak game ni, Zaquan?”

Ketika itu, perlawanan masuk babak kedua, di mana Malaysia ketinggalan satu gol kepada Oman.

“Bolehhhhhhh.”

Ringkas jawapan yang diberikan adik kembar kepada Aidil Zafuan Abdul Radzak itu yang pernah mencetus sensasi termasuk menjadi rebutan wartawan hiburan pada awal karier di Negeri Sembilan.

Saya pasti jawapan sama juga akan diberikan oleh mana-mana penyokong Harimau Malaya jika ditanya tentang keyakinan mereka untuk kebangkitan dijelmakan dalam aksi keempat kumpulan D itu.

Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku. Menuju ke penghujung perlawanan, Malaysia dihukum dengan jaringan kedua Oman yang mendapat sentuhan terakhir Mohamed Al-Ghafri untuk Penjaga Gol Terbaik 2023, Syihan Hazmi tertewas lagi.

Selepas itu, kebanyakan penyokong dilihat mula beredar meninggalkan tempat duduk masing-masing walaupun wisel penamat belum lagi ditiup sebagai mengesahkan kemenangan sekali lagi milik Oman.

Stadium yang pada awalnya dibanjiri hampir 30 ribu penonton - tidak penuh tetapi cukup untuk warna hitam kuning terlihat penuh bangga dari kejauhan - mula hilang aura pemain ke-12 yang seringkali mencetus gerun pihak lawan yang bertandang.

Namun, apakah tindakan meninggalkan stadium sebelum perlawanan tamat antara gambaran bahawa sokongan tidak lagi bersama Harimau Malaya?

Tidak!

Kecewa dengan tindakan individu tertentu.. Ya!

Marah apabila keputusan yang diharapkan tidak dijelmakan.. Mungkin!

Tetapi berpaling dari menyokong pada saat jatuh.. tidak akan pernah!

Seperti kata Ketua Jurulatih Negara, Kim Pan-gon, dalam sidang media selepas tamat perlawanan..

“We won’t give up

“We’ll fight until the end…. Together.”

Siap sedia untuk misi enam mata dalam pertemuan dengan Kyrgyzstan di Bishkek dan kunjungan Chinese Taipei di Bukit Jalil pada Jun nanti. Harapan ke Piala Dunia masih belum berkubur.