Tiada sebab untuk tinggalkan Stoke -- Shaqiri

Penulis Jemputan
June 5, 2017 10:56 MYT
Pemain Switzerland, Xherdan Shaqiri, menyifatkan dia tidak memiliki sebarang masalah di Stoke City dan hanya akan meninggalkan The Potters jika mendapat tawaran yang berbaloi daripada pasukan lebih besar.
Shaqiri menyertai Stoke dari Inter Milan pada tahun 2015 sebelum menjadi nadi utama buat skuad Liga Perdana Inggeris itu.
Pemain berusia 25 tahun itu yang pernah menyarung jersi juara Jerman, Bayern Munich, sebelum ini telah dikaitkan dengan beberapa pasukan yang menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya.
“Saya memiliki kontrak bersama Stoke sehingga tahun 2020.
“Jika saya ingin meninggalkan pasukan ini, ia adalah satu langkah ke depan buat saya dan semestinya ia perlu memberi kebaikan buat diri saya,” katanya.
Dalam masa sama, Shaqiri menegaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pengendali, Mark Hughes, serta tidak bersetuju ketiadaannya adalah disebabkan masalah gaya hidup.
“Tidak masuk akal untuk saya bermasalah dengan Hughes kerana kami tidak pernah berbincang apa-apa,” ujar Shaqiri.
“Gaya hidup saya yang dikatakan tidak sihat juga salah sama sekali kerana saya seorang profesional,” katanya.
#Stoke City #Xherdan Shaqiri
;