Thuram didenda sebulan gaji kerana meludah

Muzaffar Musa
December 21, 2020 14:11 MYT
Marcus Thuram didenda sebanyak sebulan gaji oleh Borussia Monchengaldbach selepas dilayangkan kad merah kerana meludah muka pemain Hoffenheim, Stefan Posch.
Penyerang itu diarahkan keluar padang pada 11 minit terakhir, di mana pasukannya tewas 1-2, selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesannya meludah Posch ketika bersemuka dengan pertahanan itu.
Thuram kemudian menjelaskan bahawa dia tidak berniat melakukan perkara itu dan memohon maaf kepada Posch, Hoffenheim dan rakan sepasukannya di Gladbach dengan berkata bahawa dia sedia menerima segala padah daripada perbuatannya itu.
Kelab itu kemudian mengesahkan semalam bahawa pemain itu didenda pemotongan gaji selama sebulan yang akan didermakan bagi tujuan kebajikan dan program itu akan dikendalikan oleh pemain itu sendiri.
Gladbach juga dijangka akan mengenakan 'penggantungan dalaman' buat pemain kebangsaan Perancis itu.
Pengarah sukan, Max Eberl, berkata dalam satu kenyataan: "Saya mengadakan perbincangan panjang bersama Marcus pagi ini, di mana dia sekali lagi memohon maaf kepada saya dan kelab ini atas kelakuannya.
"Kami mengenali Marcus sudah hampir dua tahun, kami tahu latar belakang dan keluarganya. Tindakkannya semalam tidak menggambarkannya. Marcus kecewa dan meyakinkan saya bahawa dia tidak sengaja meludah Stefan Posch. Dia memberitahu saya bahawa ketika dia bersemuka dengan Posch, dia dengan tanpa niat telah terludah selepas beberapa kali bertengkar dalam bahasa Perancis disebabkan suasana panas pada ketika itu.
"Dia sedar ia tidak akan mengubah apa-apa dan akan membiarkan gambaran itu menjelaskan segala-galanya, dan tindakan mengarahkannya keluar padang adalah keputusan yang tepat.
"Saya mempercayai Marcus kerana saya mengenalinya sebagai seorang yang reflektif dengan sikap yang hebat. Dia melakukannya, tetapi dia tidak melakukannya dengan niat.
"Sebagai sebuah kelab, kami akan mendenda sejumlah wang yang setara dengan gaji sebulannya gara-gara tingkah lakunya yang menyebabkan dia dibuang padang, yang akan disumbangkan untuk tujuan yang baik. Marcus telah menerimanya dan menawarkan untuk terlibat dengan tujuan sosial itu bagi pihak dirinya.
"Malam tadi, Marcus meminta maaf kepada Stefan Posch, Hoffenheim, rakan sepasukannya, staf pelatih dan peminat Gladbach, dan saya ingin melakukannya secara eksplisit bagi pihak Borussia Monchengladbach. Marcus melakukan kesalahan besar dan telah dihukum kerananya. Dia tetap orang yang sama seperti yang kita kenali dan kami akan berdiri bersamanya," katanya.
Thuram, 23, telah menjaringkan empat gol daripada 20 penampilannya dalam kesemua kejohanan buat Gladbach musim ini.
#Hoffenheim #Bundesliga #Marcus Thuram #Borussia Monchengaldbach
;