Thomas Tuchel akan berjaya di Bayern Munich, demikian pandangan yang dilemparkan tonggak antarabangsa Jerman, Thilo Kehrer, yang kini berkelana West Ham United.

Tuchel, yang tidak menjawat sebarang jawatan selepas berpisah dengan Chelsea pada September lalu sah dilantik bagi menggantikan Julian Nagelsmann, Sabtu lalu.

Nagelsmann perlu mengosongkan kerusinya walaupun Bayern mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) dan satu mata di belakang pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund.

Perlawanan pertama yang bakal Tuchel galas ialah pertembungan 'Klassiker' dengan bekas kelabnya itu yang dikemudinya di antara musim 2015 dan 2017.

Kehrer masak benar dengan sentuhan Tuchel ketika mereka pernah bekerjasama di Paris Saint-Germain (PSG), secara tidak langsung dia berasakan bekas bosya itu adalah pilihan tepat buat Bayern.

"Saya mempunyai tempoh yang sangat berjaya di Paris di bawah bimbingan Thomas Tuchel," kata Kehrer kepada pemberita dalam sidang media pra-perlawanan menjelang perlawanan persahabatan di antara Jerman dengan Belgium, awal pagi esok.



"Dia seorang jurulatih yang daripadanya saya telah banyak menimba ilmu dan juga banyak berkembang, jadi saya hanya boleh mengatakan perkara yang positif tentang dia sebagai seorang jurulatih dan sebagai seorang individu.

:Saya sentiasa menaruh kepercayaan dan sokongan terhadapnya."