Terry orang pertama akan dipanggil -- Cahill

Penulis Jemputan
July 27, 2017 08:40 MYT
Kapten baru Chelsea, Gary Cahill, menamakan John Terry sebagai individu pertama yang akan ditemuinya jika dia menghadapi sebarang kesukaran memegang lilitan ketua pasukan itu.
Tindakan pengurusi, Antonio Conte, memilih Cahill sebagai pengganti Tery dilihat tepat selepas pemain pertahanan berusia 31 tahun itu mengharungi kempen yang konsisten pada musim lepas.
Dalam satu sesi temubual bersama laman web rasmi pasukan, Cahill menyatakan bahawa setiap pemain berpengalaman menjadi inspirasinya bila-bila masa dia turun beraksi.
“Saya menjadi pemain yang matang dengan melihat apa yang dilakukan oleh pemain berpengalaman.
“Di setiap kelab, saya menimba banyak ilmu daripada ramai pemain dan saya dapat lihat Terry merupakan seorang ketua pasukan yang hebat, satu penghormatan apabila dapat beraksi bersamanya selama beberapa tahun,” kata Cahill.
Cahill tiba di Stamford Bridge dari Bolton Wanderers lima tahun lalu dan berjaya memenangi hampir semua kejuaraan utama, termasuk Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Liga Europa serta Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dia juga menyifatkan pemilihannya sebagai ketua pasukan merupakan salah satu detik paling membanggakan dalam hidupnya.
“ Jelas sekali ia satu detik yang membanggakan dalam karier saya kerana mengetuai sesebuah pasukan seperti Chelsea adalah satu pencapaian hebat.
“Saya bertuah untuk memiliki lilitan ketua pasukan pada musim lepas tetapi Terry masih memegang jawatan kapten pada waktu itu.
“Dari situ, saya mempelajari banyak perkara dan berharap dapat meneruskannya pada musim akan datang,” katanya.
#Chelsea #Gary Cahill #John Terry #Liga Inggeris #EPL
;