Terry diberi penghormatan dalam penampilan terakhir di Stamford Bridge

Astro Arena
May 22, 2017 12:37 MYT
Kapten Chelsea, John Terry, berkata dia akan menunggu beberapa minggu sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya selepas menamatkan kerjaya di Stamford Bridge.
Kerjasama selama 22 tahun di antara Terry dan Chelsea akan berakhir selepas perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu ini, dan dia dikeluarkan dalam kemenangan 5-1 juara Liga Perdana itu ke atas Sunderland malam tadi, meninggalkan padang pada minit ke-26 -- nombor jersi yang dipakainya -- dengan diberikan penuh penghormatan.
Pemain berusia 36 tahun itu kelihatan beremosi apabila dia meninggalkan padang dan ketika memberi ucapan kepada peminat selepas Chelsea menerima trofi Liga Perdana Inggeris di mana dia hanya membuat sembilan penampilan liga.
Ditanya oleh Sky Sports adakah idea dikeluarkan pada minit ke-26 telah dirancang, Terry menjawab: "Adakah ia dirancang: Ia tidak sebenarnya, saya telah berbincang dengan pengurus.
"Saya berunding dengannya untuk bermain 26 minit dan keluar, ia adalah lebih penting untuk pemain yang mungkin akan bermain dalam final piala, untuk mengasah semula kaki sebelum perlawanan itu. Ia adalah persetujuan di antara kami berdua, ia cemerlang untuk saya. "
Mengenai masa depannya, Terry berkata: "Saya akan mempunyai beberapa minggu, saya akan keluar dan bersantai sebelum memutuskan apa-apa. Setiap bekas pemain yang saya bercakap berkata perkara sama, bermain selama mana anda boleh, nikmati setiap minit.
"Saya mahu bermain, itu sebab utama mengapa saya membuat keputusan untuk meninggalkan Chelsea kerana saya mahu bermain, biarpun ia hanya untuk satu atau dua tahun lagi.
"Saya tidak mahu menjadi pemain yang menghalang peluang pemain muda seperti Nathan Ake, ia adalah masa mereka untuk menyinar. Mudah-mudahan mereka boleh mengecapi banyak kejayaan seperti yang kami lalui di sini. "
#Chelsea #John Terry
;