Terima kasih JT dan Totti
Fadzrie Hazis
May 29, 2017 14:04 MYT
May 29, 2017 14:04 MYT
Berakhirnya musim bola sepak Eropah 2016/2017 turut menyaksikan juga pengakhiran karier dua pemain yang luar biasa pada pengamatan penulis iaitu John Terry dan Francesco Totti.
Kenapa penulis mengatakan dua pemain itu luar biasa? Ia kerana kedua-dua mereka menghabiskan karier profesional selama lebih sedekad bersama sebuah kelab iaitu Chelsea dan AS Roma.
Peminat bola sepak Malaysia sudah pasti lebih sinonim dengan kelibat Terry berikutan populariti Liga Perdana Inggeris (EPL) di sini.
Walaupun penulis bukan peminat Chelsea, namun penulis amat mengagumi kelibat Terry sebagai seorang pertahanan ampuh di EPL dan juga England.
Penulis turut bertuah kerana berpeluang menyaksikan kelibat Terry sebanyak empat kali (2003,2008,2011 dan 2013) ketika kunjungan Chelsea ke Malaysia berdepan skuad kebangsaan.
Lima kejuaraan EPL, lima Piala FA, tiga Piala Liga, satu Liga Juara-juara Eropah dan satu Liga Europa sudah cukup melengkapkan kerjaya gemilang Terry.
Namun, di peringkat antarabangsa Terry gagal meraih sebarang kejuaraan utama bersama England walaupun melakukan 78 penampilan dan beraksi di dua Piala Dunia bersama Three Lions.
Terry menamatkan kerjaya profesionalnya ketika berusia 36 tahun.
Berbeza dengan Totti, legenda Itali ini menamatkan kerjaya ketika sudah menjangkaui usia 40 tahun.
Totti turut lebih cemerlang di peringkat antarabangsa apabila membarisi skuad Itali yang muncul juara Piala Dunia 2006.
Secara keseluruhan, Totti meraih 58 kaps antarabangsa dengan sembilan gol, manakala di peringkat kelab dia melakukan 618 penampilan dan 250 gol.
Totti meraih satu kejuaraan Serie A dan dua Coppa Italia.
Sudah pasti peminat bola sepak seluruh dunia akan merindui kelibat dua pemain ini yang tampak memiliki aura tersendiri dalam mengetuai pasukan masing-masing.
Penulis percaya kedua-dua pemain ini meletakkan pasukan sebagai keutamaan berbanding kepentingan menerima tawaran lumayan kelab lain.