Pengurus Manchester United, Erik ten Hag tidak dapat memberikan sebarang perkembangan positif mengenai kecederaan yang dialami Raphael Varane ketika seri 1-1 dengan Chelsea awal pagi tadi.

Varane mempamerkan aksi cemerlang di Stamford Bridge tetapi terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua selepas mencederakan dirinya ketika cuba memotong hantaran kepada Pierre-Emerick Aubameyang.

Pemain kebangsaan Perancis itu kelihatan kecewa ketika meninggalkan padang, seolah-olah mengetahui ia merupakan kecederaan yang serius hingga mampu menjejaskan peluangnya ke Piala Dunia Qatar.

Ten Hag mengakui reaksi awal Varane mungkin memberikan petunjuk tentang tahap serius kecederaan itu, namun masih terlalu awal untuk memastikannya.

Ditanya sama ada terdapat perkembangan mengenai keadaan Varane, Ten Hag memberitahu Sky Sports: "Tiada apa-apa, sebenarnya.

"Saya tahu dia cedera jika tidak dia tidak akan diturunkan, tetapi kami perlu menunggu 24 jam untuk diagnosis dan kemudian kami akan mengetahui lebih lanjut."

Apabila ditekan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai reaksi emosi Varane, Ten Hag menambah: "Tidak mungkin [untuk mengetahui tahap kecederaan].

"Kecederaan itu menjejaskan emosinya, dan itu memberikan perspektif tertentu, tetapi kami tidak tahu. Anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 24 jam, mungkin lebih bagi mengenal pasti tahap kecederaannya."