Ange Postecoglou menganggap tuntutannya sebagai pengurus Celtic akan memastikan motivasi anak buahnya tidak merosot.

Postecoglou menjadi calon pilihan untuk mengambil alih tugas di Tottenham di samping bekas pengurus Celtic, Brendan Rodgers selepas sasaran awal, Arne Slot, komited dengan masa depannya di Feyenoord.

Laporan di England mendedahkan bekas ketua jurulatih Australia itu telah menjadi sasaran utama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut tetapi spekulasi berkenaan bukanlah perkara baru buat Postecoglou selepas semusim yang memberangsangkan.

Bercakap sebelum upacara menjulang trofi Liga Perdana Scotland ketika menentang Aberdeen hari ini, Postecoglou mengulas mengenai laporan itu: “Saya menyedarinya kerana semua orang sentiasa bertanyakan saya mengenainya.

"Ia pernah berlaku jadi saya sudah pun cukup jelas bahawa ia bukan cara saya berfikir dan bekerja.





“Keutamaan saya sekarang ialah memastikan kami mempunyai hari istimewa pada hari ini dan kami akan mengharungi perlawanan akhir merebut piala dalam masa seminggu akan datang.

"Saya tidak akan terganggu dengan perkara yang agak menarik kepada orang lain dan bukannya saya sendiri.

“Di situlah tumpuan sebenar saya dan di mana ia akan berterusan.

"Kami telah menempuhi musim yang hebat dan kami mempunyai peluang untuk menjadikannya musim yang sangat istimewa.”