Jikalau sudah namanya Lionel Messi, kegagalannya menjaringkan gol pun boleh jadi cerita besar.

Ini terjadi semalam apabila rekod sumpurna kelab Inter Miami bersama Messi berakhir, dengan Nashville SC tampil selaku pasukan pertama menafikan pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu daripada menggegar jaring sejak perpindahannya ke Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat.

Nashville SC boleh bermegah kerana mampu mencapai sesuatu yang tiada pasukan lain dapat lakukan – menghalang pemain superstar itu daripada meninggalkan impak besar.

Terdahulu, dalam separuh akhir Piala Terbuka AS minggu lalu, FC Cincinnati tampil pasukan pertama menghalang Messi daripada membuat jaringan.

Tapi kapten Argentina berusia 36 tahun itu masih mampu membuat dua bantuan jaringan untuk Inter Miami menang menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam masa permainan sebenar.

Dengan 11 gol dalam sembilan perlawanan sejak menyertai Miami, Messi umpama mesin gol berdepan setiap lawan sebelum itu.

Salah satu lawan itu adalah Nashville, yang tewas kepada jaringan Messi dalam final Piala Liga – trofi pertama yang dijulang Miami.

Ulangan pertemuan kedua-dua pasukan itu semalam harus tidak sama penting tapi Nashville seakan-akan dapat melampiaskan dendamnya dengan menafikan Miami kemenangan sulungnya di halaman sendiri bersama Messi dalam kesebelasan utama hasil keputusan 0-0.

Kesudahannya, ia satu malam mengecewakan buat Miami di Stadium DRV PNK, dengan barisan bintangnya dikerah menerima hakikat perit bahawa waktu berbulan madu mereka sudah berakhir.

Seperti dilaporkan The Mirror, Jordi Alba meninggalkan padang ketika rehat dengan marah-marah sambil Sergio Busquets dilayangkan kad kuning kerana satu terjahan kerasnya. Malah, Messi turut gagal mengawal emosi kerana kerap jadi sasaran kekasaran pemain Nashville, Jack Maher.

Betapa perjalanan Miami sebelum itu dilihat sempurna – mereka menang sembilan perlawanan berturut-turut sejak Messi menyertai kelab milik David Beckham itu.



Namun, kepenatan mengharungi tiga pertandingan berbeza sepanjang beberapa minggu kebelakangan mula terserlah hingga Messi sendiri agak perlahan dan gagal mendominasi buat kali pertama ketika berdepan Nashville semalam.

Dalam pada itu, dia tetap bersemangat mencari jaringan. Cuma, ada ketikanya rakan sepasukan kelihatan marah kepadanya kerana tidak melorongkan umpanan hanya kerana dia mahu mencuba sendiri.

Disajikan peluang terbaik daripada sepakan percuma dari jarak 20 ela di penjuru petak penalti pun, percubaan lemahnya mudah didakap penjaga gol lawan.

Messi kelihatan merenung ke langit, seolah-olah mencari-cari jawapan yang diinginkannya tapi ia tetap gagal ditemuinya untuk rekod jaringannya dalam setiap perlawanan berpenghujung jua.