Syria masih belum layak jadi tuan rumah perlawanan antarabangsa -- Windsor
Aleqha Zainal
December 9, 2024 21:03 MYT
December 9, 2024 21:03 MYT
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, berkata Syria masih belum layak menjadi tuan rumah untuk perlawanan antarabangsa.
"Syria memang tidak boleh menjadi tuan rumah kerana sudah lebih 10 tahun. Jadi, kita tidak melihat perlawanan akan diadakan di sana kerana infrastruktur pun tiada buat masa ini," katanya.
"Mungkin pada masa hadapan kita tidak tahu, tetapi untuk perlawanan tahun depan, saya rasa tiada perubahan kepada status mereka sebagai pasukan yang perlu bermain di tempat berkecuali."
Pasukan Syria tidak boleh menjadi tuan rumah walaupun Datuk Seri Windsor mengesahkan Persatuan Bolasepak Syria (SFA) kini berada dalam keadaan stabil, meskipun terdapat beberapa perkara yang telah diperbaiki, dia berkata, "Status pada hari ini, mereka ada memberitahu kita mungkin akan ada perubahan dari segi logo, bendera, lagu kebangsaan, dan sebagainya. Tetapi dari segi kestabilan persatuan, tiada masalah. Buat masa ini, mereka tidak menghadapi sebarang masalah daripada mana-mana pihak.
"Pengurusan bola sepak berjalan seperti biasa, tiada kekangan atau masalah. Seperti saya katakan, ada komunikasi dengan kita, dan mereka menyatakan akan menulis surat secepat mungkin untuk memaklumkan sebarang perubahan kepada logo dan sebagainya."
Kumpulan F mempunyai tiga pasukan dari Asia Tenggara. Peluang cerah bagi Malaysia apabila berdepan pasukan Asia lain yang berada di bawah ranking Malaysia.
Namun begitu, Malaysia menghadapi cabaran sukar untuk layak ke Piala Asia kerana pertemuan dengan Vietnam.
Rekod pertemuan dan ranking tidak menyebelahi Malaysia, terutama dengan kekalahan 3-0 kepada Vietnam dalam Kejuaraan ASEAN 2022.
Sebelum ini, Vietnam mencatatkan 12 kemenangan berbanding hanya dua kemenangan oleh Malaysia. Tambahan pula, ranking dunia Vietnam adalah 116, manakala Malaysia di tangga ke-135.