Penjaga gol Harimau Malaya, Syihan Hazmi Mohamed, mengingatkan rakan sepasukannya agar kekal fokus dan memastikan pintu gol negara tidak dibolosi ketika berdepan Hong Kong dalam aksi persahabatan antarabangsa tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Selasa ini.

Menurutnya, perkara itu turut pernah disuarakan kapten, Dion Cools, yang mahukan clean sheet (tanpa bolos) dalam dua aksi persahabatan kali ini.

Katanya, biarpun kelebihan dilihat berpihak kepada skuad negara yang beraksi di hadapan penyokong sendiri, pelawat juga sudah pasti melakukan persiapan sama dalam usaha untuk mencatatkan kemenangan.

“Insya-Allah, kami akan fokus untuk perlawanan ini, tapi jangan terlalu yakin dan ambil mudah pasukan lawan.

“Kelebihan memang pada kita, tapi mereka (Hong Kong) juga pasti adakan persiapan dan sebab itu pemain perlu kekal fokus di sepanjang perlawanan,” katanya.

Syihan Hazmi merupakan antara pemain yang beraksi cemerlang buat skuad negara ketika menewaskan Turkmenistan 1-0 di venue sama Khamis lalu.

Penjaga gol berusia 27 itu juga dilihat cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan daripada jentera serangan pelawat sepanjang perlawanan berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Syihan berkata kemenangan ke atas Turkmenistan itu merupakan hasil kerja keras daripada kesemua pemain yang diturunkan.

Justeru, prestasi sedemikian perlu diteruskan ketika berdepan Hong Kong dalam usaha merakamkan kemenangan dalam aksi kali ini.

“Kalau kita tengok, Alhamdulilah. Semua pemain bagi 100 peratus dalam perlawanan itu (berdepan Turkmenistan).

“Bagaimanapun, saya tak boleh berikan ulasan daripada segi prestasi pemain kerana saya sendiri pemain.

“Yang boleh berikan penilaian adalah ketua jurulatih dan juga orang (peminat) di luar,” katanya.

Kredit: Sinar Harian