Sukan SEA: Sabah rugi tarik diri
October 23, 2024 15:23 MYT
Keputusan kerajaan negeri menarik diri sebagai pengelola secara bersama Sukan SEA 2027 berikutan kekurangan kemudahan yang bersesuaian merupakan satu kerugian kepada Sabah dalam pelbagai aspek.
Timbalan Ketua Negeri Pejuang Sabah, Razif Abdillah, berkata alasan kekurangan kemudahan yang bersesuaian untuk menganjur kejohanan yang berprestij itu menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan khususnya dalam pembangunan sukan selama ini.
Menurutnya, kesediaan itu sepatutnya sudah lama ada sekiranya pentadbiran dalam pembangunan kemudahan sukan diberi penekanan dan perhatian serta mempunyai pelan jangka panjang yang efektif oleh kerajaan kini dan sebelumnya.
"Sukan adalah medium di mana anak muda berkecimpung seterusnya tempat persaingan bakat yang akan membuka laluan untuk ke peringkat seterusnya.
"Peluang yang terhidang ini bukan selalu diperoleh, namun akibat kurang peka terhadap pembangunan kemudahan fasiliti sukan maka ia adalah kerugian menyeluruh untuk negeri Sabah dan warganya.
"Kami rakyat Sabah faham dengan kekangan dan ia mungkin norma biasa untuk menganjak kepada sesuatu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Doa yang juga merupakan bekas atlet bola tampar Sabah berkata, terdapat perbandingan nyata apabila hanya mampu melihat kerajaan Sarawak sangat mengalu-alukan dan menunjukkan kesediaan yang tinggi sebagai rakan penganjur bersama temasya sukan tersebut.
"Adakah kita boleh menyatakan dengan jelas yang Sabah sangat ketinggalan dengan Sarawak, lalu apakah aspirasi pimpinan kini dan sebelum ini terhadap perkara sebegini?
"Paling utama adalah kerugian dalam sektor lain seperti industri perhotelan, makanan dan juga pelancongan yang terlepas begitu saja akibat kelemahan nyata daripada pengurusan pentadbiran sukan," katanya.
Sehubungan itu, Razif berharap adanya tindakan drastik yang perlu dimulakan khususnya oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah melalui kerajaan negeri dalam merangka persiapan untuk temasya sukan yang berskala besar akan datang.
Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan perkara itu dalam Dewan Rakyat pada semalam.
-- Sinar Harian