THAILAND 2 MALAYSIA 0

Skuad B-22 negara menempa laluan berliku untuk layak ke separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA Kemboja 2023 apabila tewas 0-2 kepada Thailand dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Visakha, Phnom Penh sebentar tadi.

Selepas menewaskan Laos 5-1 dalam aksi pertama kelmarin, kemenangan dalam perlawanan kali ini akan mencerahkan peluang skuad negara untuk ke separuh akhir menjelang pertemuan dengan juara bertahan, Vietnam, pada Isnin ini.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila pasukan bimbingan E. Elavaran itu kelihatan bergelut untuk mencipta jaringan sejak dari awal permainan.

Dan kegagalan itu mengundang padah pada minit ke-73 apabila Anan Yodsangwal bertindak bijak menghidu lorongan jauh gemilang Channarong Promsrikaew sebelum menewaskan penjaga gol negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Ketika skuad negara sedang galak memburu gol penyamaan, mereka sekali lagi dihukum pada minit ke-84 apabila hantaran Adam Farhan dipintas Airfan Doloh sebelum Channarong melakukan satu lagi lorongan gemilang, yang disudahkan dengan gerakan solo menarik Yotsakorn Burapha.

Selepas bertemu Vietnam, Harimau Muda akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan berdepan Singapura pada Khamis depan.