Sukan SEA: Kekuatan mental fokus utama skuad futsal

Penulis Jemputan
July 27, 2017 14:39 MYT
Pemain pivot futsal negara, Mohd Khairul Effendy Bahrin , mengakui mental barisan pemain negara perlu berada di tahap terbaik dalam menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur bulan depan, terutama apabila turun berdepan pasukan pilihan, Thailand.
Bagi Khairul Effendy, barisan pemain negara mampu menyaingi Thailand berdasarkan beberapa pertembungan dengan gergasi futsal Asia itu.
Bagaimanapun, perbezaan kekuatan mental kerap kali menjadi penghalang buat barisan negara melakar kemenangan.
Kali ini, Khairul Effendy bertekad memastikan kelemahan itu dapat diatasi dalam aksi persahabatan di Bangkok yang bermula semalam sehingga 2 Ogos depan.
"Dengar sahaja nama Thailand, mentaliti pemain mula merudum. Jadi jurulatih (Chiew Chun Yong) banyak memberi penekanan dalam latihan mental, antaranya tidak terlalu menghormati pasukan lawan, terutama di atas gelanggang," jelasnya.
Penjaga gol dan kapten skuad negara, Mohd Firdaus Razali, turut berkongsi nada sama.
Bagi Firdaus, kelemahan itu semakin diatasi pemain selepas Chun Yong, menekankan aspek kekuatan mental dalam pasukan.
"Apa yang saya lihat, mental pemain bertambah kuat selepas mengharungi beberapa perlawanan sebelum ini.
"Itu salah satu faktor untuk kami memberi saingan dalam perebutan pingat dalam Sukan SEA. Kami mampu menyaingi pasukan yang kuat," ujar Firdaus.
#Football Association of Malaysia #Malaysia #Futsal #Sukan SEA
;