Sukan SEA 2027: Sarawak terima komen positif dari rakyat Malaysia
Azreena Faizal
June 1, 2024 16:54 MYT
June 1, 2024 16:54 MYT
Malaysia telah dipilih sebagai destinasi bagi temasya sukan dwitahunan paling berprestij di Asia Tenggara, iaitu Sukan SEA 2027.
Dalam kejohanan kali ini, Sarawak dipilih menjadi penganjur bersama Putrajaya.
Rata-rata pendapat dari penduduk Malaysia menunjukkan sokongan yang kuat terhadap pemilihan Sarawak sebagai salah satu venue utama.
Di laman sosial Facebook Astro Arena, banyak komen positif menyatakan bahawa jika Sarawak menjadi penganjur bersama Putrajaya, fasiliti sukan di negeri itu dapat dipertingkatkan dengan ketara.
Salah satu komen menekankan bahawa fasiliti sukan yang ditingkatkan akan memberi manfaat besar, bukan hanya kepada atlet tempatan tetapi juga kepada atlet dari negara lain yang akan berkunjung ke Sarawak.
"Cadangan yang baik dimana Sarawak boleh 'upgrade' fasiliti sukan. Bukan setakat Sarawak sahaja malah negeri-negeri lain yang ada fasiliti yang baik apa salah untuk digunakan. Jangan hanya tertumpu kepada Kuala Lumpur sahaja, contoh seperti di Thailand, mereka boleh adakan Sukan SEA di Bangkok dan Chiang Mai. Ini akan beri lebih banyak peluang kepada negeri lain untuk menaik taraf fasiliti sukan setaraf yang terdapat di Kuala Lumpur."
"Itu yang sepatutnya, ini dari dulu asyik Kuala Lumpur sahaja jadi tumpuan, kita ada Penang, Johor Bharu, Kuching, Kota Kinabalu yang boleh jadi penganjur. Ikut seperti Thailand yang tidak hanya berpusat di Bangkok sahaja."
"Bagus tukar tukar, secara tidak langsung kemudahan di setiap negeri akan bertambah baik. Lepas Kuching, Kota Kinabalu pula."
"Aku sokong Sarawak jadi tuan rumah Sukan SEA, asyik asyik Kuala Lumpur sahaja, bosan lah."
Penggunaan fasiliti berkualiti tinggi itu oleh atlet antarabangsa akan meningkatkan reputasi Sarawak sebagai destinasi sukan bertaraf dunia.
Komen di Facebook seterusnya berpendapat bahawa sudah tiba masanya Sarawak mendapat peluang menjadi tuan rumah, menggantikan Kuala Lumpur yang sering menjadi penganjur utama dalam kejohanan sukan besar.
Mereka percaya bahawa dengan keluasan dan kemudahan yang ada, Sarawak mampu menampung kehadiran atlet serta pengunjung yang ingin menyaksikan Sukan SEA 2027.
Dengan tempoh tiga tahun sebelum temasya bermula, terdapat banyak ruang dan masa bagi kerajaan Sarawak untuk memperbaiki dan menaik taraf fasiliti sukan.
Harapan besar diletakkan pada Sarawak untuk memberikan yang terbaik dan menyambut kedatangan atlet serta pengunjung dari seluruh Asia Tenggara dengan hospitaliti yang cemerlang.
Pemilihan Sarawak sebagai venue Sukan SEA 2027 bukan sahaja berpotensi meningkatkan fasiliti sukan tetapi juga membawa impak positif kepada ekonomi tempatan dan memperkenalkan budaya serta keindahan negeri itu kepada dunia.
Diharapkan, dengan usaha dan komitmen yang berterusan, Sarawak akan berjaya menjadi tuan rumah yang membanggakan Malaysia di persada antarabangsa.