Penerjun elit negara, Nur Dhabitah Sabri, tidak dapat menahan sebak sebaik meraih pingat perak dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita, Sukan Komanwel Birmingham 2022 awal pagi tadi.

Nur Dhabitah meraih perak acara di Pusat Akuatik Sandwell itu selepas mengumpulkan 330.90 mata, hanya ketinggalan 18.05 mata di belakang pemenang pingat emas dari Australia, Maddison Keeney, sambil Mia Jolie Doucet Valee dari Kanada pula memenangi gangsa.

Ia merupakan pingat perak kedua penerjun berusia 23 tahun itu dalam edisi kali ini selepas meraih pingat sama dalam acara 3m papan anjal seirama wanita bersama Wendy Ng Yan Yee.

Nur Dhabitah, yang ditemu bual wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, tidak dapat menahan sebak sebaik menamatkan acara individu berkenaan.

"Selepas setahun, saya baru berlatih kembali (untuk acara ini) bagi Sukan Komanwel. Saya tidak tahu, mungkin ini rezeki saya.

"Saya memang tidak akan lihat papan pemarkahan, rezeki saya di nombor dua, saya tidak pulang dengan tangan kosong.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana saya tahu persaingan dalam acara individu memang sangat-sangat sukar.

"Saya sudah dapat pingat perak, apa lagi yang saya mahukan," katanya.