Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal, menyuarakan nada kecewa terhadap Kerajaan Negeri Selangor yang mendakwa persatuan itu tidak membuat permohonan rasmi dalam meminta bantuan kewangan untuk mengharungi saingan Liga M musim ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri, Amirudin Shari, mengatakan FAS perlu membuat permohonan rasmi dalam meminta bantuan kerajaan negeri.

Subahan menempelak kenyataan Amirudin kerana FAS sudah membuat permohonan secara rasmi Disember lalu dan sekali lagi memohon secara rasmi pada Isnin.

"Kami telah memohon secara rasmi sekali lagi kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan bantuan kewangan yang diperlukan oleh FAS," katanya.

Subahan turut menegaskan FAS sudah mengurangkan kos perbelanjaan mengharungi saingan Liga M musim ini.

Kerana itu, beliau berkata FAS hanya memerlukan sokongan dana sekitar RM5 juta daripada kerajaan negeri.

Tambah Subahan, FAS kini juga dalam landasan tepat ke arah pelesenan kelab yang disyaratkan Ushasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), namun proses penswastaan persatuan itu tidak boleh dicapai dalam sekelip mata.

"Kami akan cuba untuk menswastakan pasukan tetapi ia merupakan satu tugas yang tidak mudah. Buat masa ini, kami memastikan setiap gaji pemain dilunaskan."