Suarez tawar hati sertai River Plate akibat terkandas Copa Libertadores

Shaiful Shamsudin
July 8, 2022 01:39 MYT
Luis Suarez membatalkan hasratnya untuk menyertai River Plate selepas mereka tersingkir daripada Copa Libertadores.
Penyerang veteran itu yang merupakan ejen bebas selepas meninggalkan Atletico Madrid dikaitkan dengan River sambil mengesahkan telah mendapat tawaran menarik.
Bekas pemain Ajax, Liverpool dan Barcelona itu juga terbuka untuk berpindah selain bersemangat dengan peluang memenangi gelaran Libertadores.
Tetapi River tersingkir daripada saingan kelab elit Amerika Selatan itu berikutan keputusan seri tanpa jaringan di tempat sendiri menentang Velez Sarsfield dalam pusingan 16, semalam, sekali gus tersingkir 0-1 secara agregat.

0 - Es la primera vez que River y Boca son eliminados en la misma fase de eliminación directa de la @Libertadores sin anotar goles tanto en la ida como en la vuelta. Sequía.

— OptaJavier (@OptaJavier) July 7, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Oleh itu, Suarez tidak akan menyertai gergasi Buenos Aires berkenaan yang kehilangan Julian Alvarez kepada Manchester City.
“Saya sangat teruja dengan kemungkinan ke River untuk berjuang merebut Copa Libertadores,” katanya kepada Ovacion.
"Adalah menjadi impian saya untuk memenangi piala Amerika Selatan. Apabila River tersingkir, segala kemungkinan itu lenyap."
Suarez telah menghabiskan 16 tahun berkelana ke Eropah sejak ditandatangani Groningen pada 2006 sejurus meninggalkan Nacional di negara asalnya, Uruguay.
Dalam masa sama, pemain berusia 35 tahun tersebut berkata dia kecewa kerana tidak menerima sebarang tawaran daripada bekas kelabnya itu dengan menjelaskan: "Jika saya asyik memikirkan dan teruja tentang kemungkinan ke River, perkara yang sama terhadap Nacional yang merupakan kampung halaman saya.
"Saya terkejut kerana pemimpin Nacional langsung tidak pernah menghubungi saya untuk bertanya khabar."
#Luis Suarez #River Plate #Copa Libertadores