Penjaga gol Albania, Thomas Strakosha, sah menyertai Brentford selepas meninggalkan Lazio.

Strakosha menandatangani kesepakatan tiga tahun dengan pilihan lanjutan selama setahun lagi untuk menyertai Aaron Hickey dan Keane Lewis-Potter memperkuatkan Brentford menjelang musim kedua mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain berusia 27 tahun itu melakukan lebih daripada 200 penampilan bersama Lazio tetapi memilih untuk tidak menandatangani kontrak baru bersama kelab Serie A berkenaan, sekali gus menjadi pemain dengan status ejen bebas sejak awal bulan ini.

Pemain kelahiran Greece itu melakukan 19 penampilan bersama Albania dan sebelum ini, dia dilaporkan turut menarik minat Manchester United dan Fulham.

Brentford, yang terdahulu memecahkan rekod pembelian termahal sepanjang sejarah mereka sebanyak dua kali ketika menandatangani Hickey dan Lewis-Potter sepanjang minggu lalu, akan memulakan kempen baru dengan bertandang ke laman Leicester City pada 7 Ogos ini.