Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard, akhirnya mampu menghela nafas lega apabila kelab itu menyelesaikan segala tunggakan gaji pemain dan pegawainya sebelum tarikh akhir yang ditetapkan Fisrt Instance Body (FIB) esok.

Dalam masa sama, Stanley turut mengakui perbelanjaan kelab itu bagi saingan domestik musim ini terpaksa dikurangkan sebagai langkah untuk tidak mengulangi masalah sama.

"Bayaran sudahpun masuk ke dalam akaun semua pemain dan jurulatih dan kesemua mereka sudah menandatangani satu surat pengesahan mengenai penyelesaian gaji mereka," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.

"Bagi saya, bukan sekadar untuk musim 2023 tetapi bagi musim 2024 juga, kami sudah bersedia untuk memulakannya pada 1 April ini.

"Saya rasa kita perlu melihat bahawa KL City sebagai antara pasukan yang paling berjaya, jadi untuk menyimpan pemain dengan status KL City, ia bukan sesuatu yang mudah.

"Setakat yang saya tahu dalam lima tahun ini, KL City satu-satunya pasukan yang memenangi piala selain JDT (Johor Darul Ta'zim).

"Kerana itu kami memasuki fasa di mana KL City antara pasukan dengan bajet paling kurang tetapi dengan kejayaan yang paling tinggi.

"Jadi, cabaran itu masih akan saya ambil bagi musim 2024/25 untuk memastikan KL City masih dapat bersaing di pentas tertinggi dengan bajet yang paling boleh dikompromi," katanya.