Solskjaer: VAR perlukan kopi, mereka mesti tertidur

Muzaffar Musa
February 15, 2021 08:25 MYT
Ole Gunnar Solskjaer berkata "ada orang sedang tertidur dalam pejabat video bantuan pengadil (VAR)" dan mencadangkan agar mereka membancuh kopi selepas Manchester United diikat West Brom dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.
United diikat 1-1 di The Hawthorns, di mana West Brom mendahului seawal minit kedua walaupun Mbaye Diagne kelihatan melekapkan tangannya di muka Victor Lindelof ketika menjaringkan gol itu.
Bruno Fernandes menyamakan kedudukan menerusi gol voli gemilangnya sebelum waktu rehat tetapi skuad kendalian Solskjaer itu tidak dapat mengelak daripada keciciran mata buat kali keempat sepanjang lima perlawanan terakhir
Pengadil, Craig Pawson, memberikan United sepakan penalti pada minit kedua selepas Semi Anjayi menolak Harry Maguire -- walaupun pemain kebangsaan England itu kelihatan berada di posisi ofsaid -- tetapi mengubah keputusannya walaupun tiada sebarang semakan mengenai kedudukan ofsaid.
Ketika mengakui ia satu keputusan yang tepat, Solskjaer bingung dengan cara VAR membatalkan sepakan penalti itu.
"Saya fikir apa yang kita semua mahukan adalah ketekalan dan perlawanan yang adil tetapi sekali lagi, terdapat kesilapan manusia seperti yang kita jangkakan. Namun, penalti yang kami hampir dapat itu benar-benar satu faul," kata Solskjaer.
"Jika anda hanya melihat pertembungan di antara pertahanan tengah itu dengan Harry, ia satu faul tetapi saya melihat Harry berada di posisi ofsaid.
"Seseorang pasti sedang tertidur di pejabat VAR. Ada orang perlu membancuh kopi kerana ia sepatutnya dapat dibatalkan dengan mudah dengan berkata 'Tidak, dia ofsaid. Selesai dan ayuh lupakannya'."
Ditanya mengenai jaringan Diagne, Solskjaer membandingkannya dengan gol Maguire yang dibatalkan kerana melakukan faul ke atas Erik Pieters ketika menentang Burnley bulan lalu.
"Ia lebih faul berbanding apa yang dilakukan Harry ketika menentang Burnley, kita boleh katakan seperti itu.
"Ketika jaringan kami dibatalkan hari itu, jika terdapat ketekalan, ini juga satu faul. Dan sepanjang menjadi penyerang satu ketika dahulu, ia pasti sesuatu yang menyakitkan sekiranya kehilangan gol seperti ini, jadi saya ada dua pendirian berbeza.
"Saya bukan sahaja melihatnya, saya nampaknya secara langsung. Tetapi apa yang kita perlukan adalah ketekalan. Ia sememangnya lebih faul berbanding apa yang dilakukan Harry ke atas pemain Burnley," tambahnya.

? The skipper gives #MUTV his full-time verdict...#MUFC pic.twitter.com/D6XWhWFkEL

— Manchester United (@ManUtd) February 14, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Keputusan itu meletakkan United ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu EPL, Manchester City, yang memegang kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
City memenangi 16 perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan dan tidak pernah tewas dalam 15 perlawanan liga terakhir tetapi Solskjaer tidak anggap pasukan lain sudah boleh menumpukan untuk merebut tempat kedua.
"Tidak, saya tidak rasa seperti itu. Tiada siapa akan mengaku kalah seawal ini. Musim ini amat sukar diramal, segalanya boleh berlaku. Sudah pasti kami tidak akan berpuas hati dengan kedudukan kedua," katanya.
#Manchester United #West Bromwich Albion #Liga Perdana Inggeris #Ole Gunnar Solskjaer
;