Skuasy: Kejuaraan di China buktikan kekuatan mental Rachel Arnold
Shaiful Shamsudin
November 7, 2024 20:11 MYT
November 7, 2024 20:11 MYT
Rachel Arnold terus mengharumkan nama keluarganya dalam kancah skuasy apabila menjuarai Skuasy Terbuka China di Shanghai.
Rachel yang mengikut jejak langkah ayahnya, Raymond, kakaknya, Delia untuk mendominasi saingan PSA bertaraf perak.
Rachel yang juga merupakan pemain perseorangan kedua negara itu kembali puncak prestasi selepas bergelut dengan siri kecederaan.
Peningkatan prestasinya termasuk tonggak utama negara seperti S. Sivasangari, Ng Eain Yow serta Aifa Azman memberi harapan menggunung buat Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) melihat wakil tempatan cabar kejuaraan Piala Malaysia minggu depan.
"SRAM berbangga dengan persembahan Rachel.
"Setelah lima tidak memenangi sebarang kejohanan, ini merupakan kejuaraan terbesar dalam kariernya.
"Ini menunjukkan kesungguhan, kerja keras dan keyakinannya memang di tahap terbaik. Sebagai atlet profesional, (kemarau) kejuaraan boleh menjejaskan keyakinan dirinya.
"Pada usia 28 tahun, ini merupakan detik terbaik untuk mencapai puncak prestasinya. Kemenangan ini berikan kekuatan emosi dan mental kepadanya untuk menghadapi kejohanan akan datang.
"Ranking dia pun melonjak dari 30 ke 19 dunia.
"Dia akan menghadapi Piala Skuasy Malaysia minggu depan. Sebagai pilihan ketiga kejohanan, pastinya dia akan menggunakan segala kepercayaan ini untuk memang lagi," kata Timbalan Presiden SRAM, Sharon Wee, di Nadi Arena.