Short mohon maaf di atas penyingkiran Sunderland
Astro Arena
April 30, 2017 15:02 MYT
April 30, 2017 15:02 MYT
Pengerusi Sunderland, Ellis Short, mengakui kesilapan telah dibuat sepanjang tempoh perkhidmatannya apabila kelab itu tergelincir daripada Liga Perdana Inggeris, malam tadi.
Kekalahan 1-0 kepada Bournemouth, hasil jaringan lewat Joshua King, mengesahkan kejatuhan skuad David Moyes selepas 10 tahun berada dalam liga utama England.
Short dan Moyes dikritik oleh penyokong sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan ahli perniagaan dari Amerika Syarikat itu mengakui pengambilan pemain menyumbang kepada penyingkiran mereka.
Dia berkata dalam satu kenyataan: "Saya memohon maaf kami tidak dapat mengekalkan status dalam liga utama.
"Saya mengakui ketika pemilikan saya, saya telah membuat kesilapan, terutama dalam aspek pengambilan pemain, dan hasilnya kami mendapati diri kami terpaksa berjuang untuk hidup dalam beberapa musim ini.
"Kami mendapat gangguan hebat semasa jendela perpindahan musim panas dan jumlah kecederaan yang belum pernah terjadi sepanjang musim ini. Ia adalah kesukaran yang tidak dapat diatasi dan sekarang kami membayar harga untuk itu.
"Kami perlu tingkatkan, di dalam dan di luar padang, dan walaupun kekecewaan pahit hari ini ada keazaman yang kuat untuk berbuat demikian di kelab.
"Ada kerja penting yang perlu dilakukan sepanjang musim panas dan apabila musim tamat, kami berhasrat berkongsi rancangan kami untuk bergerak ke hadapan dengan penyokong kami."
Sunderland mempunyai baki empat perlawanan musim ini, berdepan dua buah lagi kelab bermasalah, Hull City dan Swansea City, sebelum menghadapi Arsenal dan pendahulu liga, Chelsea.