Serie A: Spalletti mohon maaf kepada penyokong selepas keraian Scudetto Napoli tertunda
Muzaffar Musa
May 1, 2023 12:12 MYT
May 1, 2023 12:12 MYT
NAPOLI 1 SALERNITANA 1
Luciano Spalletti memohon maaf kepada penyokong Napoli kerana terlepas peluang untuk mengesahkan kejuaraan Scudetto di depan penyokong sendiri.
Kelab Partenopei itu berada di landasan terbaik untuk meraih kejuaraan Serie A pertama selepas 33 tahun apabila Mathias Olivera menanduk masuk gol pembukaan mereka dalam babak kedua perlawanan menentang Salernitana di Stadio Diego Armando Maradona malam tadi.
Kekalahan 3-1 Lazio kepada Inter Milan dalam perlawanan lebih awal menyaksikan satu lagi kemenangan sudah cukup untuk Napoli mengesahkan gelaran Scudetto dan meraikannya di laman sendiri tetapi gol penyamaan Boulaye Dia pada minit ke-84 memastikan Salernitana mengikat kedudukan 1-1 dan keraian itu terpaksa ditunda.
Napoli masih dapat mengesahkan kejuaraan mereka seawal Rabu ini seandainya Lazio gagal menewaskan Sassuolo tetapi Spalletti menyedari pasukannya telah mengecewakan penyokong mereka kerana tidak dapat mengesahkan gelaran selepas perlawanan itu.
Ketua jurulatih Napoli itu berkata kepada DAZN: "Kami memohon maat kerana tidak dapat memberikan kegembiraan (memenangi gelaran) buat penyokong besar yang luar biasa ini.
"Kami mewakili impian mereka. mereka berhak mengecap impian ini. Kami lah yang perlu merealisasikan impian penyokong kami.
"Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol untuk menghadiahkannya kepada mereka. Daripada pandangan saya, kegembiraan ini hanya tertunda kerana saya amat selesa dengan kedudukan liga ketika ini.
"Kami menundakannya buat masa ini tetapi ia akan akan menjadi satu keraian yang hebat kerana saya yakin kami akan mendapatkan dua mata itu (untuk memenangi liga)," katanya.
The game ends all-square ⏸️ 90+6 | #NapoliSalernitana 1-1 ? #ForzaNapoliSempre pic.twitter.com/DdmKkGvOFR
— Official SSC Napoli (@en_sscnapoli) April 30, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.