Pasukan yang sedang bergelut di kelompok bawahan Serie A, Salernitana, melantik Paulo Sousa sebagai ketua jurulatih selepas dua kali memecat Davide Nicola dalam tempoh sebulan.

Nicola dilantik semula kelab itu pada 18 Januari lalu, hanya dua hari selepas dipecat tetapi tiga kekalahan berturut-turut dalam saingan liga sejak itu menjadi punca dia dipecat sekali lagi.

Salernitana mengesahkan perkara itu dalam laman web rasmi mereka awal pagi tadi sebelum mengumumkan pelantikan Sousa tidak lama selepas itu.

Ia akan menjadi pasukan ke-12 dibimbing Sousa dan tempoh keduanya dalam liga utama Itali itu selepas turut pernah membimbing Fiorentina selama dua tahun sebelum ini.

Pengendali berusia 52 tahun itu mengemudi Poland dalam Euro 2020 sebelum membimbing Flamengo selama enam bulan dan meninggalkan pasukan itu pada Jun lalu.

Salernitana kini berada di tangga ke-16 Serie A dengan hanya dibezakan lima mata daripada zon penyingkiran berbaki 16 perlawanan musim ini.