Masa depan Romelu Lukaku di Itali kian samar selepas Pengarah Inter Milan, Beppe Marotta, berkata penyerang itu "tidak seperti dulu" selepas tempoh keduanya bersama Nerazzurri berjalan dengan keadaan sukar.

Pemain kebangsaan Belgium itu menikmati tempoh pertamanya bersama Inter dari 2019 hingga 2021 secara prolifik, di mana dia menjaringkan 64 gol daripada 95 penampilan dan membantu pasukan itu memenangi Scudetto dalam musim terakhirnya.

Bagaimanapun, dia kini hanya menjaringkan lima gol buat skuad bimbingan Simone Inzaghi itu sejak kembali secara pinjaman semusim dari Chelsea pada Jun lalu.

Bagaimanapun, tiga daripada jaringan itu hadir menerusi lima penampilan terakhirnya, termasuk gol kemenangan Inter dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Porto bulan lalu.

Masih belum jelas sama ada pemain berusia 29 tahun itu akan melanjutkan tempohnya di San Siro atau pulang ke pangkuan Chelsea selepas tamat tempoh pinjaman itu.

Bagaimanapun, Marotta berkata Inter masih belum dapat melihat aksi terbaik Lukaku, yang dia rasakan terjejas dengan kelelahannya sewaktu Piala Dunia Qatar hujung tahun lalu.

"Saya mahu tegaskan bahawa ia hanya pinjaman semusim, jadi dia akan kembali ke Chelsea," kata pengarah kelab itu kepada Sky Sport Italia.

"Ia musim yang mencabar, masalah ini turut dilalui kelab lain, terutama pasukan yang mempunyai pemain yang mengambil bahagian dalam Piala Dunia.

"Lukaku dan (Marcelo) Brozovic belum pulih sepenuhnya dan untuk kes Lukaku, kelebihan fizikal dan kecergasan merupakan kunci permainannya.

"Dia masih belum 100 peratus, dia bukan Lukaku sama seperti yang kita lihat tahun-tahun lalu," katanya.