Serie A: Juventus kukuh kedudukan empat teratas tapi Pogba cedera lagi

Muzaffar Musa
May 15, 2023 12:02 MYT
JUVENTUS 2 CREMONESE 0
Juventus kian menghampiri kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selepas menewaskan Cremonese dalam perlawanan Serie A di Stadium Allianz awal pagi tadi.
Bagaimanapun, kemenangan itu dicemari dengan satu lagi kecederaan yang melanda tonggak tengah, Paul Pogba.
Dengan separuh daripada tumpuan mereka dibahagikan untuk pertemuan separuh akhir Liga Europa (UEL) menentang Sevilla awal pagi Jumaat ini, Massimiliano Allegri melakukan tujuh perubahan dalam kesebelasan utamanya, termasuk menyenaraikan Paul Pogba pada awal permainan buat kali pertama sejak kepulangannya ke Turin.
Namun, Pogba hanya dapat bertahan selama 24 minit sebelum dikeluarkan dan dia kelihatan menangis sewaktu meninggalkan padang kerana menyedari dia mungkin sedang mengalami kecederaan pinggul.
Bagaimanapun, ketiadaannya tidak menjejaskan permainan Juve untuk seorang lagi pemain tengah, Nicolo Fagioli, memecahkan keampuhan benteng Cremonese menerusi rembatan derasnya pada minit ke-55.
Bremer kemudian menanduk masuk gol kedua Juve pada lewat permainan untuk pasukan itu kini berkelebihan lapan mata di depan pasukan di tangga kelima, AC Milan, berbaki tiga perlawanan musim ini.
Sebagai rekod, Pogba hanya dapat melakukan enam penampilan Serie A musim ini dengan secara keseluruhan beraksi selama 84 minit.

Get well soon, Paul ?#JuveCremonese

— Lega Serie A (@SerieA_EN) May 14, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Juventus #Paul Pogba #Serie A #Cremonese
;