AC MILAN 0 JUVENTUS 1

Juventus memberikan tekanan buat penghuni kelompok atasan Serie A musim ini apabila mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas AC Milan di San Siro awal pagi tadi.

Bekas pemain tengah Rossoneri, Manuel Locatelli, muncul wira Juventus apabila percubaan terbiasnya menerjah masuk ke gawang pada minit ke-63, sekali gus menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan.

Nasib malang Milan bermula apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan, Malick Thiaw, dilayangkan kad merah gara-gara menjatuhkan Moise Kean, yang memliki peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

Dan Juve mengambil kesempatan dengan kelebihan seorang pemain itu untuk menjaringkan gol kemenangan menerusi Locatelli, yang percubaan jarak jauhnya terbias pemain gantian Milan, Rade Krunic, sebelum melepasi jangkauan penjaga gol, Antonio Mirante.

Dengan kemenangan itu, Juve kini menduduki tangga ketiga Serie A dengan hanya dibezakan satu mata di belakang pasukan di tangga kedua, Milan, dan dua mata di belakang pendahulu, Inter Milan.