Romelu Lukaku berkata Inter Milan sentiasa berada dalam hatinya sambil mendedahkan perancangannya untuk kekal bersama pasukan Serie A itu selepas musim ini.

Lukaku kembali ke Inter secara pinjaman semusim pada Jun lalu selepas hanya menjaringkan lapan gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea musim lalu susulan tiba di kelab london itu dengan tanda harga £97.5 juta (RM519.59 juta).

Penyerang Belgium itu menghabiskan sebahagian besar musim ini di tepi padang selepas mengalami kecederaan pinggul pada Ogos lalu dan gagal memulakan sebarang perlawanan sepanjang kempen Piala Dunia Qatar 2022 baru-baru ini, di mana pasukan kebangsaannya tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Biarpun melalui tempoh mengecewakan dalam kepulangannya ke San Siro, Lukaku masih berkeinginan untuk berada di kelab itu secara tetap selepas menerima sambutan baik daripada penyokong Nerazzurri.

"Penyokong Inter amat istimewa. Bagi saya mereka yang terbaik pernah saya jumpa," kata Lukaku kepada Sky Sport.

"Walaupun ketika kami sedang bermasalah, mereka sentiasa ada untuk membantu pasukan ini.

"Saya sangka mereka masih marah kepada saya tetapi mereka tahu Inter sentiasa berada di hati saya, walaupun ketika saya pergi.

"Saya ada berbual dengan rakan sepasukan saya. Saya memberitahu mereka apa sebenarnya sebab saya pergi dan sebab saya kembali.

"Saya harap dapat kekal di sini. Bagi saya, Inter adalah segala-galanya.

"Kini, saya sudah melakukan apa yang sepatutnya. Bersama pasukan ini untuk Inter meraih kemenangan. Kemudian kita akan lihat apa yang akan berlaku," katanya.