Serie A: Giroud tinggalkan AC Milan untuk ke MLS

Muzaffar Musa
May 14, 2024 10:34 MYT
Olivier Giroud mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan AC Milan untuk menyertai Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) selepas kontraknya tamat hujung musim ini.
Pemain Perancis itu menyertai kelab berkenaan daripada Chelsea pada Julai 2021 dan memenangi gelaran Serie A dalam musim pertamanya.
Giroud telah menjaringkan 48 gol daripada 130 perlawanan dalam kesemua kejohanan buat Milan. 16 daripada jaringan itu terhasil musim ini ketika membantu mereka meraih kedudukan naib juara liga.
Dalam satu wawancara penuh emosi bersama saluran media kelab itu, dia berkata: "Saya berada di sini untuk memaklumkan kepada anda bahawa dua perlawanan selepas ini adalah perlawanan terakhir saya buat Milan. Karier saya akan diteruskan dalam MLS.
"Saya amat bangga dengan apa yang telah saya lakukan di Milan sepanjang tiga musim ini. Ini masa paling sesuai untuk mengumumkannya.
"Saya agak beremosi. Kisah saya dengan Milan tamat penghujung musim ini tetapi Milan akan kekal di dalam hati saya," katanya.
Difahamkan Giroud akan ke LAFC untuk kembali bersama rakan senegaranya, Hugo Lloris.
#bola sepak #Olivier Giroud #Serie A #MLS #AC Milan