Serie A: Allegri tidak pasti bila Pogba dapat kembali beraksi

Muzaffar Musa
April 1, 2023 10:18 MYT
Massimiliano Allegri tidak pasti bila Paul Pogba akan dapat kembali beraksi selepas pemain tengah itu sekali lagi mengalami kecederaan.
Pemain kebangsaan Perancis itu melalui waktu yang amat sukar sejak kembali ke pangkuan Juve daripada Manchester United pada Julai lalu, di mana dia hanya dapat beraksi selama 34 minit menerusi dua penampilan sebagai pemain gantian.
Pogba kelihatan sudah pulih ketika dapat diturunkan dalam dua perlawanan berturut-turut menentang Torino dan AS Roma, masing-masing pada 28 Februari dan 5 Mac lalu -- kedua-duanya sebagai pemain gantian.
Bagaimanapun, dia kemudian digugurkan daripada perlawanan Liga Europa (UEL) menentang Freiburg gara-gara tiba lewat sewaktu mesyuarat pasukan.
Pemain berusia 29 tahun itu tidak pernah beraksi selepas insiden itu, di mana dia dilaporkan mengalami kecederaan otot sewaktu melakukan latihan mengambil sepakan percuma.
Menjelang perlawanan Serie A menentang Hellas Verona awal pagi esok, Allegri mengesahkan bahawa Pogba sekali lagi tidak dapat disenaraikan.
"Buat masa ini, saya tidak tahu bila dia akan dapat diturunkan kembali," kata Allegri dalam sidang media sebelum perlawanan.
"Dia sedang berusaha tetapi buat masa ini, sukar untuk bercakap mengenainya.
"Adductornya dalam keadaan baik tetapi kami perlu melihat bagaimana keadaan lututnya sewaktu latiham," katanya.
#bola sepak #Massimiliano Allegri #Paul Pogba #Serie A #Junventus
;