Sergio Aguero bakal bertindak sebagai pemilik kelab

Shaiful Shamsudin
June 18, 2024 09:58 MYT
Pemain legenda Manchester City, Sergio Aguero, mendedahkan bahawa dia semakin hampir untuk kembali ke kancah bola sepak sebagai pemilik kelab.
Bagaimanapun, bekas pemain berusia 36 tahun itu yang terpaksa bersara kerana sakit jantung hampir tiga tahun lalu masih merahsiakan identiti kelab itu dengan memberi sedikit bayangan bahawa ia bukan di negara asalnya, Argentina.
Dia mendedahkan perancangan terbarunya itu dalam satu wawancara bersama Argentina Coscu apabila ditanya sama ada dia mahu kembali sebagai pengurus: "Sebenarnya saya berfikir untuk terlibat dalam kelab bola sepak sebagai pemilik.
"Saya tidak akan menyatakan kelab mana itu lagi tetapi saya fikir kami berada di landasan yang tepat.
"Saya suka jika dapat menguruskan pasukan, membantu kelab untuk maju, membina pasukan yang baik dan kakitangan yang baik.
"Sejujurnya saya lebih cenderung untuk melihat kelab berkembang dengan cara yang betul."
#Sergio Aguero
;