Kuantan FA kini berdepan risiko terpaksa menarik diri daripada Liga Malaysia jika tidak menemui jalan penyelesaian daripada pihak pengurusan berhubung soal gaji yang sudah tertunggak lebih tiga bulan sebelum 7 April ini.

Jurulatihnya, Ismail Zakaria, menjelaskan dia bersama pemain serta barisan kejurulatihan tidak mampu lagi menanggung derita selepas gagal menerima sebarang bayaran daripada pengurusan.

Dia memberi tempoh selewat-lewatnya sehingga 7 April ini kepada pengurusan atau melihat semua pemain meninggalkan pasukan, sekali gus menarik diri daripada Liga Malaysia sambil mendedahkan kebanyakan pemainnya sudah dirisik oleh pasukan lain.

"Kemungkinan besar ia akan berlaku kerana pemain-pemain sudah bersedia untuk meninggalkan pasukan. Perkara ini telah sampai ke tahap yang maksimum, iaitu tiga bulan tanpa gaji," kata Ismail.

Dua pemain import, Zarko Korac dan Andrezinho, sudah tidak lagi menyertai sesi latihan manakala empat pemain tempatan yang diketuai Daudsu Jamaluddin telah berhijrah ke kelab Liga FAM, D'AR Wanderers.

Lebih menyedihkan, mereka terpaksa menumpang berlatih di salah sebuah padang milik Kolej Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas pengurusan gagal membayar sewa penggunaan Stadium UPM.

"Sebenarnya, kami melepaskan pemain yang berhijrah ke Wanderers selepas mereka melakukan permohonan untuk keluar," katanya lagi.