Selangor melancarkan kempen solidariti 'Stand With Faisal Halim. Stop The Violence!' berikutan pemain mereka, Faisal Halim, dianiayai apabila disimbah asid di sebuah pusat beli-belah, Ahad lalu.

Kempen itu disambut baik oleh semua rakyat Malaysia dengan harapan agar pemain itu kembali pulih segera seperti sediakala.

Kelab dari Lembah Klang itu menyeru orang ramai agar membanteras segala jenis keganasan dalam sukan bola sepak tanah air agar insiden seperti itu tidak lagi berulang pada masa akan datang.




"Tiada ruang untuk keganasan dalam sukan yang kita cintai ini. Bola sepak adalah sukan yang menyatukan dan bukan untuk memecahbelahkan kita. Pemain-pemain bola sepak berusaha dan bekerja keras untuk kita.

Seperti mana-mana atlet lain, Faisal Halim, tiada bezanya. Beliau telah memberikan segalanya untuk kita meraikan kegembiraan bersama. Bukan sahaja untuk kelab, malah di peringkat kebangsaan. Paling diingati, baru-baru ini, gol ikoniknya menentang Korea Selatan dalam Piala Asia AFC 2023, membawa sorakan paling gemuruh di tanah air.

Kini, giliran kita pula untuk memberi sokongan padu kepada wira negara kita. Mari berdiri teguh di belakang insan yang mempunyai impian yang besar dalam bola sepak. Ini bukan sekadar bola sepak tetapi ini tentang perihal kemanusiaan.

Justeru, sebagai tanda solidariti bersama Faisal Halim, kami di Selangor FC ingin menyeru orang ramai untuk membanteras keganasan dalam apa jua bentuk. Tiada tempat untuk keganasan. Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan beliau dan semoga beliau cepat pulih sediakala."