Selangor kena cari jurulatih bijak manfaat kelebihan pemain
Shaiful Shamsudin
October 31, 2024 19:04 MYT
October 31, 2024 19:04 MYT
Bekas pengurus selangor, Zakaria Rahim, memberi pandangan tajam betapa peletakan jawatan Nidzam Jamil bakal membawa perubahan positif Gergasi selepas ini.
Tidak menafikan jiwa dan kesetiaan Nidzam kepada Selangor sejak zamannya menyarung jersi Merah Kuning selain kapasitinya sebagai anak jati kelahiran Kajang.
Namun, ia belum memadai untuknya mengemudi skuad gergasi seperti Selangor, atau lebih tepat Nidzam gagal menggunakan kelebihan pemain import dan sering berada dalam kesulitan mencetak kemenangan selesa.
"Apakah kelebihan dia (Nidzam Jamil) untuk mengendali 10 pemain import dalam pasukan Selangor?
"Tiga pemain dari Jordan (Mohammad Abualnadi, Noor al-Rawabdeh dan Ali Olwan), seorang pemain Chile (Ronnie Fernandez) dan seorang dari Singapura (Safuwan Baharudin) merupakan pemain kebangsaan.
"Nidzam tidak pernah melatih pasukan luar Malaysia untuk menimba pengalaman mengendali pasukan yang bermain di peringkat antarabangsa dan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang selama ini memonopoli liga.
"Selangor memerlukan seorang jurulatih yang mempunyai pendedahan pelbagai kelab untuk melatih pasukan.
"Selangor mempunyai barisan kejurulatihan yang bagus tetapi gagal memanfaatkan pemain yang bagus dan ini adalah kelemahannya", katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Begitupun, penggantinya masih menjadi misteri.
Zakaria, bagaimanapun, memberi pandangan peribadi bahawa matlamat kelab Lembah Klang itu kelak perlu lebih jelas.
Justeru, kriteria ketua jurulatih juga perlulah ada pengalaman yang lebih menyeluruh dan bukan semata-mata menyerlah dalam saingan domestik.
"Selangor harus mendapatkan jurulatih yang boleh membawa pasukan sehingga ke perlawanan akhir.
"Sasaran harus diletakkan kepada pengganti baru untuk mara ke final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2)," katanya lagi.
"Boleh lupakan Liga Super untuk mencabar kejuaraan kerana sudah tidak sempat tetapi harus juara Piala Malaysia.
"Musim depan, mesti atasi JDT.
"Tiada jurulatih tempatan yang berkelana di luar," tambahnya.