Saya tidak mahu bermain menentang Melaka, JDT -- Khairil

Penulis Jemputan
June 21, 2017 22:44 MYT
Pemain tengah skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Ahmad Khairil Anuar Zamri, enggan mengambil risiko beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Melaka esok bagi mengelak ditimpa kecederaan lebih serius untuk kempen kejohanan kelayakan B-23 AFC di Bangkok, bulan depan.
Khairil atau lebih dikenali dengan panggilan Beto terlepas siri perlawanan persahabatan di China, minggu lalu.
Diketepikan ekoran kecederaan, pemain Perak ini kembali menyertai pasukan untuk pertemuan menentang Melaka.
Begitupun, Beto mengakui dirinya belum cergas sepenuhnya, sekali gus enggan diturunkan esok.
"Saya sudah beritahu jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, bahawa saya tidak mahu bermain bersama Melaka dan JDT sebab ia cuma perlawanan persahabatan,bukannya perlawanan yang meningkatkan diri saya. Jadi, saya diketepikan dahulu untuk perlawanan persahabatan ini."
Beto kini berdepan persaingan sengit untuk merebut tempat susulan lambakan pemain di posisi tengah.
Dengan rata-ratanya pemain menunjukkan prestasi memuaskan, Beto masih optimis untuk berada dalam skuad akhir 25 pemain.
"Dalam perlawanan di China, semua pemain memberikan aksi baik. Jadi, di situ membuatkan saya berdaya saing bersama kawan-kawan.
"Bila sesi latihan nanti, saya akan buktikan kepada jurulatih untuk dia buat pilihan siapa yang dimahukannya," tambahnya.
Sebelum ke Melaka, skuad negara terlebih dahulu akan ke Johor Bahru untuk mengadakan perlawanan latihan menentang JDT, hari ini.
#Football Association of Malaysia #Malaysia #Bola Sepak Malaysia,
;